Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, peruntukan tersebut merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu kerajaan negeri memaju dan membangunkan Kedah demi keharmonian rakyatnya.

“Ini diperlihatkan daripada peruntukan yang terus bertambah daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) malah disebutkan dalam belanjawan tahun ini.

Perdana Menteri ketika melawat negeri ini mengumumkan peruntukan tambahan yang sedia ada itu sebagai komitmen Kerajaan Pusat untuk rakyat Kedah keseluruhannya.

“Kalau RM1.3 bilion itu disebut sebagai dedak orang yang bercakap tentang dedak itu sebenarnya selama ini hanya memberi dedak kepada rakyat Kedah, sebaliknya Menteri Besar dan Perdana Menteri menghimpunkan tenaga serta pemikiran untuk beri peruntukan besar kepada negeri ini.

“Malah saya akan teruskan pastikan agar Kedah diberi bantuan. Apabila Perdana Menteri menutup ekspo ini pada 3 Mac nanti, saya yakin lebih banyak peruntukan lebih besar akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Muafakat Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua jabatan serta penduduk negeri ini.

Berucap lanjut kata, Ahmad Zahid, Kerajaan Pusat menghargai komitmen kerajaan negeri dalam memastikan negeri ini terus menjadi penyumbang utama kepada sektor makanan negara.

“Dalam menterjemahkan pembangunan dan kemajuan harus ada keseimbangan antara pembangunan di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar tiga elemen ini penting khususnya dalam penghasilan makanan yang disumbangkan negeri ini adalah sebanyak 37 peratus.

“Jadi kerajaan tidak akan pernah melupakan untuk bangunkan Kedah dalam bidang teknologi tinggi,” katanya.

Beliau turut berpuas hati dengan muafakat yang ditampilkan di peringkat kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Bashah yang berjaya melonjak hasil negeri sebanyak 20 peratus pada tahun lepas. - UTUSAN ONLINE