Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin juga mengakui bahawa baginda adalah merupakan antara pembaca setia akhbar nombor satu negara itu sejak daripada zaman kecil sehingga saat ini.

Sehubungan itu, baginda berharap pembaharuan tersebut akan mampu memenuhi citarasa para pembaca.

“Saya ucap tahniah kepada Kumpulan Utusan yang menerbitkan akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia dengan wajah serta versi baharu.

“Wajah baharu bersaiz kompak ini nampak lebih segar dan senang dibaca. Saya sememangnya setiap hari membaca akhbar ini selain beberapa akhbar lain,” kongsi baginda kepada wartawan Utusan Online, di sini hari ini.

Setelah kira-kira 53 tahun memangkinkan fikiran rakyat menerusi naskhah bersaiz besar atau broadsheet, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia semalam melalui satu lagi revolusi dalam dunia persuratkhabaran apabila tampil dengan wajah baharu dengan saiz kompak.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin berpandangan, dalam berhadapan dengan cabaran media digital, akhbar arus perdana ini perlu sentiasa memantap dan memperkasakan isi kandungannya agar selari dengan peredaran zaman.

“Media arus perdana seperti Utusan Malaysia ini perlu bersaing dengan media digital dan akhbar ini perlu sentiasa ke hadapan dalam mendepani cabaran tersebut,” kongsi baginda. - UTUSAN ONLINE