Malahan jika satu tinjauan atau soal selidik tentang fungsi PI1M dijalankan dalam kalangan umum terutamanya di kawasan bandar, secara majoriti pasti mengatakan pusat itu adalah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan internet kepada orang awam.

Memang benar pusat itu menyediakan perkhidmatan jalur lebar khususnya kepada masyarakat luar bandar, namun persepsi itu tidak tepat kerana peranan dan sumbangannya jauh lebih besar daripada apa yang disangkakan.

Apa tidaknya dari segi pencapaian, penerimaan serta keberkesanan pewujudan inisiatif berkenaan sejak 2013 itu telah memperlihatkan perubahan terhadap pelbagai aspek kehidupan golongan sasar PI1M.

Ini kerana, PI1M yang merupakan inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) itu turut memfokuskan usaha terhadap pembangunan aspek pendidikan, kerohanian, ekonomi dan sosial komuniti luar bandar.

Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan PI1M itu lebih daripada sebuah pusat siber kerana pusat itu menjadi pemangkin terhadap transformasi kehidupan khusus­nya bagi penduduk luar bandar.

Dalam erti kata lain, kesannya terhadap kehidupan masyarakat luar bandar amat mengagumkan menerusi aktiviti dan program yang dijalankan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini seperti Telekom Malaysia (TM), Maxis, Digi dan Celcom.

Apa tidaknya, menerusi kemudahan infrastruktur yang disediakan di pusat berkenaan, PI1M menjadi pusat latihan dan pem­belajaran internet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melibatkan semua peringkat umur daripada murid sekolah rendah sehingga ke golongan warga emas.

Paling menarik, PI1M turut menjadi platform bagi penduduk luar bandar menceburi bidang keusahawanan melalui perniagaan dalam talian sekali gus memperkembangkan aspek penjanaan pendapatan.

Lebih membanggakan, siapa sangka penduduk luar bandar yang dahulunya hanya berniaga di sekitar kampungnya kini mampu memasarkan produk mereka hingga ke seluruh negara dan pada masa sama meraih pendapatan berlipat ganda berbanding sebe­lumnya.

Di samping itu, PI1M yang kini telah mencecah bilangan 668 seluruh negara turut menyaksikan penduduk luar bandar berupaya memanfaatkan ledakan teknologi masa kini sehingga mampu me­lakukan pembayaran bil mereka yang dilakukan secara dalam talian.

Justeru, tidak hairanlah inisiatif berkenaan diterima baik oleh penduduk luar bandar yang kini sudah mencatatkan hampir 559,998 ahli manakala lebih satu juta pengguna.

Perkara itu turut diakui Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie yang memaklumkan bahawa sambutan golongan sasar amat memberangsangkan sehingga wujud permintaan bagi membuka serta menambah pusat berkenaan di kawasan lain.

“Baru-baru ini juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meminta agar menambah tiga lagi PI1M di Bagan Datoh berikutan permintaan yang tinggi daripada penduduk.

“Tetapi sekarang kita mahu meningkatkan lagi tahap penyampaian­nya, banyak perancangan yang mahu dilaksanakan, di atas kertas nampak cantik namun apa yang kita mahu lihat keberkesanannya dan ini akan menjadi salah satu cabaran.

“Apa pun kita percaya ma­syarakat luar bandar boleh mene­rima perubahan dan mereka sememangnya mahukan perubahan,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia dalam sesi taklimat lawatan PI1M Felda Soeharto di Kuala Kubu Bahru, Hulu Selangor, baru-baru ini.