KUALA LUMPUR 23 Mei 2017 - Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed bercakap kepada media pada Sidang Akhbar Perlaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Bagi Pemandu Teksi Yang Berkerja Sendiri atau Perkhidmatan Seumpamanya, di sini, hari ini.Gambar-Mohd Farizwan HasbullahPemberita-Adlinahani (meja am utusan)

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skim di bawah Akta Kese­lamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (AKSPS 2017) itu akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini dan meliputi mereka yang bekerja secara sendiri khususnya untuk pemandu teksi atau perkhidmatan seumpamanya se­perti GrabCar dan Uber.

“Pemandu teksi, GrabCar dan Uber yang berdaftar diwajibkan untuk mendaftar dengan skim ber­kenaan bagi mewujudkan jaringan keselamatan sosial, selain menjamin kesinambungan hidup jika berlaku kemalangan atau kematian.

“Skim tersebut mempunyai faedah-faedah yang sama se­perti di bawah Skim Bencana Kerja yang dicarum oleh majikan terhadap pekerja-pekerja swasta, kerajaan mahupun secara sambilan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Mohd. Shahar Ismail.

Dalam pada itu, Mohammed Azman menyatakan bahawa antara faedah yang bakal diterima pemandu teksi yang berdaftar dan mencarum di bawah skim tersebut termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layan sentiasa, pe­ngurusan mayat, pendidikan, orang tanggungan dan kemudahan pemulihan jasmani, vokasional dan program Kembali ke Kerja.

Jelas beliau, berdasarkan statistik SPAD, jumlah pemandu teksi yang berdaftar di Semenanjung sehingga April 2017 adalah seba­nyak 52,888 (83 peratus), manakala bagi LPKP di Sabah dan Sarawak masing-masing berjumlah 6,178 (10 peratus) dan 4,596 (7 peratus).

“Pemandu GrabCar dan Uber pula dianggarkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 orang di seluruh negara dan semua jumlah tersebut dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, Perkeso berharap kesemua yang terlibat dapat mendaftar skim tersebut de­ngan kadar segera bagi membantu mereka meluaskan jaringan ke­se­lamatan sosial,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, pemandu teksi boleh mula mendaftar dan mencarum secara atas talian hari ini melalui i-PERKESO dan kepada mereka yang sukar melakukan pendaftaran menggunakan internet, mereka boleh datang ke mana-mana pejabat Perkeso terdekat untuk pendaftaran.

Perkeso juga akan melakukan kerjasama dengan persatuan-persatuan pemandu teksi untuk me­laksanakan program turun padang bagi tujuan penerangan, meningkatkan kesedaran, pendaftaran dan pembayaran caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.