Gabung Teksi Se-Malaysia mendakwa Loke cuba mewujudkan hubungan tidak baik pemandu teksi dengan kerajaan apabila kerap mengeluarkan kenyataan menggambarkan pemandu teksi sebagai antikerajaan.

“Kami memberi tempoh dua minggu kepada menteri untuk memperbetul masalah ini dan Loke perlu menghadiri perjumpaan itu,” kata pengerusinya, Kamaruddin Hussain dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

“Jika tidak, akan berlaku satu lagi bantahan lagi, di sini.”

Katanya, bantahan pemandu teksi adalah berhubung isu e-hailing.

“Kami bukan antikerajaan, kami mahu membantu menyelesaikan masalah. Kami hanya mahukan layanan yang adil dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE