Penasihat Big Blue Taxi Faci­lities Sdn. Bhd,, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya bersama pengusaha dan pemilik syarikat teksi lain berhasrat untuk mengadakan demonstrasi secara aman itu selama dua hari.

Sehubungan itu jelasnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha syarikat teksi lain pada Isnin ini.

“Cadangan kerajaan itu dilihat lebih mempromosikan perkhidmatan Grab. Tindakan yang tidak sepatutnya diambil kerajaan sebagai pemantau dan penggubal undang-undang di negara ini.

“Kami merancang mengadakan demonstrasi di hadapan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan pada Rabu dan Khamis ini bagi membantah cada­ngan terbabit yang akan menutup rezeki pemandu teksi yang majoritinya terdiri daripada orang Me­layu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta me­ngulas la­poran sebuah portal berita yang memetik Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua sedang me­ngadakan perbincangan dengan Grab Malaysia bagi mencapai tujuan itu.

Shamsubahrin berkata, de­monstrasi itu dijangka bermula dengan berarak dari beberapa lokasi di Lembah Klang ke Putrajaya.

“Kami akan mendapatkan permit da­ripada polis untuk mengadakan demons­trasi ini selepas pertemuan antara pengusaha-pengusaha teksi, Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata, demonstrasi itu juga akan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamed agar memecat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Tony Pua daripada jawatan mereka kerana gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

“Kenyataan-kenyataan daripada dua pemimpin DAP itu berhubung perkara ini (sebelum ini) dilihat lebih kepada bermain politik daripada me­nunaikan janji dalam menjaga kesejahteraan rakyat, walhal pemandu-pemandu teksi bertindak membantu dan menyokong pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan apabila mereka mengutarakan janji menjaga kebajikan pemandu teksi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.

“Kami juga telah membuat banyak aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kedua-dua pemimpin itu berhubung perkara ini, namun setakat ini tiada tindakan diambil,” katanya.