Pengerusi Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, kaedah itu akan diguna pakai sekiranya pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan di Parlimen pada sesi ini.

Katanya, pindaan tersebut memberi pilihan kepada pemandu teksi untuk kekal menggunakan sistem tambang bermeter yang mempunyai caj permulaan sekiranya mereka mengambil penum­pang di tepi jalan atau stesen teksi.

“Dalam masa sama, jika mereka menggunakan sistem e-hailing iaitu mengambil penumpang berdasarkan permintaan melalui aplikasi, maka tambang yang dikenakan sama seperti pemandu Uber dan Grab.

“Langkah ini membolehkan pemandu teksi memperoleh pendapatan yang lebih sekali gus mereka dapat bersaing dengan lebih adil,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan (STK) Bagi Permit Teksi Individu di Persana Plus, Subang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Azharuddin Mad Sah.

Dalam majlis tersebut, seramai 300 pemandu teksi yang telah menamatkan tempoh kontrak pajak masing-masing menerima STK lesen teksi individu dan geran tunai RM5,000 bagi membolehkan mereka membeli kenderaan baharu.

Syed Hamid berkata, ketika ini, sistem meter meletakkan caj permulaan RM3 untuk teksi bajet, RM6 (teksi Premier) dan RM8 (teksi Eksekutif) dan ia akan meningkat mengikut jarak atau tempoh perjalanan.

Beliau berkata, menerusi e-hai­ling pula, SPAD tidak akan mengawal tambang sebaliknya hanya bertanggungjawab dalam memastikan setiap pemandu memiliki kad pemandu, lesen memandu yang tidak tamat tempoh dan perlindungan insurans untuk penumpang.

Terdahulu, ketika berucap dalam majlis tersebut, beliau berkata, SPAD berharap pemandu teksi yang layak dan menerima lesen teksi individu dapat me­ngubah persepsi masyarakat dan cuba menyesuaikan diri de­ngan trend yang mendorong permintaan pasaran hari ini.

Katanya, pemandu teksi juga dinasihatkan supaya tidak me­ngadakan demonstrasi jalanan sekiranya terdapat kekeliruan sebaliknya sentiasa mengadakan pertemuan dan berbincang de­ngan SPAD.