Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, arahan yang berkuat kuasa bermula esok sehingga 22 Jun depan turut melibatkan pemandu yang mempunyai rekod berkaitan dadah.

“Pihak yang terlibat perlu membayar saman terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi seperti biasa dan ini adalah peringatan kepada pemandu serta syarikat pengendali bas ekspres.

“Bagi pemandu yang didapati mempunyai rekod jenayah dadah, pengendali syarikat bas ekspres terlibat perlu menukar pemandu lain jika mahu meneruskan perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Rosli Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shahruddin Khalid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohmad Salleh serta Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye.

Siew Fook berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi kempen keselamatan jalan raya yang bertujuan mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian semasa hari raya. - UTUSAN ONLINE