Ternyata kelibat Aladdin itu menarik perhatian rakyat di ne­geri ini yang memenuhi kawasan berkenaan dan melihat bagaimana pemuda tersebut sedang mencari jalan memasuki istana bagi berjumpa dengan puteri raja.

Selepas melalui pelbagai rintangan, Aladdin akhirnya berjaya memasuki istana tersebut dan merealisasikan hasratnya itu.

Kemunculan Aladdin yang dilakonkan oleh artis terkenal, Fendy Bakry itu adalah merupakan antara gimik persembahan pembukaan pintu istana sempena Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau 2018.

Tidak dinafikan gimik persembahan pembukaan itu cukup hebat dan sempurna sekali gus menyaksikan MKC yang berlangsung dua hari sehingga 28 Julai itu antara yang terbaik sejak mula diperkenalkan pada tahun 2013.

Sepanjang dua malam tersebut, rakyat Perlis cukup bertuah kerana berpeluang menjejakkan kaki ke kawa­san Istana Arau yang dibuka untuk dikunjungi oleh orang awam.

Kawasan istana ini dibuka setahun sekali sempena sambutan ­ulang tahun keputeraan Raja Perlis.

Ternyata MKC tahun ini mendapat sambutan hebat apabila hampir 35,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum di seluruh pelosok negeri ini hadir dalam program dua hari itu untuk melihat keindahan gemerlapan lampu hiasan istana.

Orang ramai dilihat mula berkumpul seawal pukul 8 malam sambil menunggu pintu pagar Istana Arau dibuka pada pukul 9.30 malam selepas selesai sahaja solat isyak dan gimik pembukaan acara tersebut.

Malah pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk me­lawat Galeri Istana yang menempatkan barang-barang kebesaran istana.

Antara aktiviti lain yang berlangsung dalam program itu ialah persembahan nyanyian, kebudayaan dan pelbagai lagi pertunjukan lain sebelum diakhi­ri dengan pertunjukan bunga api kira-kira pukul 11.30 malam.

Untuk rekod, MKC adalah hasil cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Per­lis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi mendekatkan rakyat dengan institusi raja Perlis.

Untuk itu, ketua penyelaras program tersebut saban tahun akan dipertanggungjawabkan ke­pada Setiausaha Sulit Raja Muda Perlis iaitu Asrul Nizwan Mohamad sebelum ini dan terbaharu Zaharin Haris.