Pengasasnya, Mohamad Ammar Sobri berkata, nasi tersebut disediakan kepada 300,000 pe­ngunjung yang ingin merasai juadah tersebut boleh mendapatkannya di gerai pameran miliknya dengan harga RM2 sahaja.

Katanya, selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti menarik serta hadiah lumayan menanti pengunjung MAHA 2016 kali ini.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah jualan happy hour dan promosi menarik untuk semua jenis produk, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertunjukan teknik memasak daging, pertan­dingan selfie dan cabutan bertuah. Hadiah keseluruhan bernilai RM15,000 menanti setiap pemenang untuk dibawa pulang.

“Saya mahu pengunjung yang datang ke gerai pameran merasa gembira dan secara tidak langsung dapat mempromosikan produk-produk keluaran kami kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas melawat gerai pameran EA Inspire Enterprise di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.

EA Inspire Enterprise yang ditubuhkan sejak tahun 2009 mempunyai 25 pekerja.

Tambah Mohamad Ammar, objektif penyertaan syarikatnya pada MAHA 2016 kali ini adalah untuk mengubah persepsi segelintir masyarakat yang tidak gemarkan daging kambing.

“Seperti yang ramai tahu, daging kambing mempunyai bau yang kuat berbanding dengan daging-daging lain menyebabkan masyarakat sukar untuk menerimanya.

“Oleh itu, kami akan memberikan persepsi baharu kepada mereka terhadap daging kam­bing dengan mencuba sendiri produk kami terutama Kambing Perap Frozen,” ujarnya.

Orang ramai boleh berkunjung ke gerai pameran EA Inspire Enterprise di B1, Laman Ternak Jabatan Perkhidmatan Veterinar bermula Khamis ini sehingga 11 Disember 2016.