Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata, tanah-tanah kosong tersebut akan diiklankan menerusi semua pejabat tanah di seluruh negeri selain Pusat Khid­mat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hebahan media.

Beliau memberitahu, pada masa ini sebanyak 5,900 lot tanah kosong sudah dikenal pasti di semua daerah di Terengganu dengan kebanyakannya terdapat di sekitar Setiu.

"Ini merupakan berita gembira buat rakyat Terengganu dan pengiklanan tanah kosong untuk kediaman akan dibuat dalam masa terdekat, selewat-lewatnya awal bulan depan.

“Kita telah kenal pasti sebanyak 5,900 lot tanah kosong dan akan diiklankan untuk membolehkan mereka yang layak mengikut syarat-syarat ditetapkan me­ngemukakan permohonan dan dipanggil untuk temuduga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia (KPPTSM) Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalin; Timbalan Pengarah Pejabat Ta­nah dan Galian (PTG) Terengganu, Jahani Ngah dan Yang Dipertua KPPTSM Terengganu, Mohd. Fauzi Ngah.

Mengulas lanjut katanya, antara syarat yang ditetapkan adalah para pemohon mestilah sudah berkahwin, umur dan skim gaji yang bersesuaian selain masih belum memiliki tanah kediaman.

“Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat menjelaskan bayaran premium 10 peratus mengikut nilai sebenar tanah serta harga pasaran. Dengan adanya iklan ini akan memudahkan mereka mengenal pasti lokasi tanah kosong yang mereka ingin miliki,” jelasnya.

Beliau juga menarik perhatian mana-mana rakyat negeri ini yang sudah memiliki tanah juga berpeluang mengemukakan permohonan, namun mereka perlu mengikuti proses biasa sebagaimana ditetapkan.

Tegas Ahmad Razif, mereka yang berjaya memiliki tanah itu kelak dilarang menjual kepada orang lain dan sekiranya kediaman gagal dibina dalam masa tiga tahun, kerajaan tidak teragak-agak menarik balik tanah tersebut.