Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, dalam usaha itu MPM dan MIGHT sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi rel terkemuka di dunia iaitu Seoul Metro yang berpusat di Korea Selatan.

Menurutnya, menerusi kerjasama buat julung kali itu, lima bidang utama akan diberi tumpuan iaitu pendidikan, perniagaan, teknologi pengoperasian, teknikal dan latihan.

“Kerjasama yang berlangsung hari ini merupakan rentetan daripada hasil kunjungan MPM dan MIGHT ke Seoul Metro pada September lalu yang mana kami turut menawarkan beberapa bidang utama untuk manfaat pihak Seoul Metro.

“Malam ini satu memorandum persefahaman (MoU) antara MPM, MIGHT dan Seoul Metro akan berlangsung dan melalui MoU itu kerjasama ini adalah untuk tempoh jangka masa panjang agar kesemua pihak mendapat manfaat perniagaan kepada perniagaan (BtoB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MPM, MIGHT dan Seoul Metro di sini hari ini.

Hasan berkata, antara bidang yang menjadi tumpuan adalah pendidikan, yang mana Seoul Metro akan menjalin kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam pengkhususan kepada latihan berteknologi rel.

Selain itu, perkongsian kepakaran teknologi rel turut difokuskan untuk kepentingan industri perkhidmatan rel dalam negara.

“Seoul Metro sememangnya dikenali sebagai syarikat terkemuka teknologi rel di dunia. Kerjasama ini dilihat akan banyak memberi peluang kepada negara yang sedang menaik taraf perkhidmatan rel.

“MPM dan MIGHT percaya hasil perkongsian kepakaran itu nanti dapat mempertingkatkan teknologi rel negara, sekali gus meletakkan Malaysia setan­ding dengan negara-negara maju yang lain,” katanya.