Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Asmak Ab. Rahim berkata, berdasarkan kajian, terdapat hampir 600,000 ibu bapa yang tidak mendapat bantuan kewangan daripada anak-anak ekoran peningkatan kos sara hidup saban tahun.

“Satu insentif yang baik tetapi sekiranya ditingkatkan nilai pelepasan lebih tinggi kepada melebihi RM2,000 adalah cukup bagi seorang anak menyara ibu bapanya.

“Ini kerana kos sara hidup amat tinggi dan memerlukan pelepasan cukai yang lebih setimpal agar tanggungjawab seorang anak dapat dilaksanakan dengan baik,” kata­nya dalam Forum Umum: Analisis Pasca Bajet 2016 Malaysia anjuran Fakulti Perniagaan dan Peraka­unan UM.

Dalam pembentangan Bajet 2016 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan anak-anak yang menyara ibu bapa walaupun tidak tinggal sebumbung akan diberi pelepasan cukai terkumpul masing-masing sebanyak RM1,500.

Sementara itu, Asmak turut mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan bagi mengenal pasti golongan yang layak menerima pelepasan tersebut memandangkan kemungkinan terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan.

“Kerajaan perlu mengenal pasti mereka yang benar-benar menyara kedua ibu bapa, bukan yang sekadar mendapat keuntungan daripada pelepasan cukai terkumpul itu. Perkara ini bagi menggalakkan anak-anak menjalankan tanggungjawab menyara ibu bapa,” ujarnya.