Ini kerana, lambang pelbagai kenderaan, alat tulis, alatan dapur, sayur, buah-buahan, ba­ngunan, elektrik, pakaian, alat muzik, alat tukang, am, alat sukan dan hidupan air itu digunakan sebagai memudahkan jemaah haji Malaysia mengenali kawasan perkhemahan mereka khususnya di lokasi peribadatan itu.

Mina adalah antara tiga kawasan Masyair selain di Arafah dan Mudzalifah.

Masyair ialah kawasan bermulanya kerja ibadah haji di luar kota Mekah iaitu berwukuf di Arafah, singgah atau bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina sebelum jemaah haji kembali ke Mekah untuk tawaf, sai dan tahlul.

Pengarah Operasi Masyair 1438 Hijrah, Mohd. Norbel Kassim (gambar) berkata, pelbagai lambang dan warna digunakan bagi mengenal pasti lorong perkhemahan di Mina.

Katanya, pihaknya juga menyediakan warna maktab supaya mudah dikenalpasti oleh jemaah haji, selain ‘bunting’ bertali untuk lorong di Mina.

“Kita turut menyediakan lam-bang tertentu pada laluan di lorong perkhemahan jemaah haji di Mina seperti contoh maktab 74, lorongnya dilabelkan dengan lambang seperti kereta, kereta api, bas, lori, basikal dan sampan,” katanya dalam taklimat kepada wartawan Malaysia di Ibu pejabat Tabung Haji di bangunan Abraj Al-Janadriyah, di sini hari ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan memantau kemuda­han, kelengkapan, pergerakan dan kebajikan jemaah haji serta program ibadah semasa di Masyair yang merupakan aktiviti utama petugas Tabung Haji sebaik sahaja bermulanya hari wukuf kelak.

“Aspek itu termasuklah pemantauan di tapak perkhemahan iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina, pengangkutan bas untuk petugas, jemaah haji, logistik, pesakit dan wukuf safari untuk warga emas dan bermasalah kesihatan.

“Hal logistik tentulah memastikan khemah berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik, air, tandas, karpet serta makan minum jemaah dan petugas Tabung Haji,” katanya.

Selain itu beberapa penambah­baikan yang dilakukan pihak kerajaan Arab Saudi dan muasasah, Tabung Haji juga melaksanakan pelan operasi Masyair yang tersusun.

“Di berapa lokasi strategik, kita menempatkan petugas Tabung Haji supaya pergerakan jemaah haji tidak tersasar sewaktu melakukan rukun dan wajib haji di situ.

“Ini termasuklah di laluan ma­suk bas (anggota pengawal bende­ra), selain beberapa pos di laluan Muaissim ke Jamarat untuk ibadat melontar,” katanya. – UTUSAN