Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pendekatan baharu yang akan dimulakan tahun ini  akan mengesyorkan supaya pelatih pusat pemulihan dadah yang pulih tidak terus pulang ke kampung masing-masing sebaliknya memulakan hidup di kawasan baharu.

"Mereka yang keluar pada tahun ini kita akan syorkan mereka bekerja di tempat baharu yang mana di situ orang tidak kenal mereka dan membolehkan mereka memulakan hidup baharu dalam keadaan tiada sesiapa berasa curiga.

"Kita juga akan usahakan mencari kerja untuk mereka dalam menggalakkan penghijrahan dalam kalangan mereka," katanya dalam sidang akhbar pada Program 'Meet and Greet' di Restoran Lemang To' Ki Benus di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah AADK negeri, Rujhan Ramli dan Ketua Polis daerah, Superintenden Yusof Unis.

Pada program itu Zulkifli mengedar risalah pencegahan dadah dan beramah mesra dengan  pelanggan di restoran berkenaan. - UTUSAN ONLINE