Mereka menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid yang dibina daripada buluh di kawasan kem dan tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban dalam suasana berlumpur akibat sistem perparitan yang tidak sempurna.

Di salah sebuah kawasan kem iaitu Kutupalong, ratusan ribu pelarian tinggal bersesak-sesak dan pelarian sempat juga keluar ke pekan berhampiran untuk membeli keperluan dan pakaian baharu untuk sambutan hari raya korban.

Bagi kebanyakan pelarian ini merupakan kali pertama mereka menyambut Aidiladha di kem pelarian selepas operasi pembersihan etnik digerakkan oleh tentera Myanmar,

Tentera Myanmar yang disokong militan sami Buddha mula membunuh, merogol dan membakar rumah penduduk Rohingya sejak Ogos tahun lalu iaitu sehari sebelum mereka menyambut Aidladha.

Kenangan pahit itu terus terpahat di memori mereka yang terpaksa lari menyelamatkan diri dengan pelbagai rintangan dan tidak kurang juga terkorban sebelum tiba di bumi Bangladesh.

Mohammad Issa, 19, salah seorang daripada 700,000 Rohingya yang lari daripada pembunuhan beramai-ramai itu berkata, sambutan Aidiladha tidak semeriah ketika di kampung halaman sendiri.

"Di Myanmar kami ada wang, kami ada lembu dan tanah. Aiduladha lebih meriah,” katanya kepada AFP di sini hari ini.

Bagi Mohammad Amin, 15, dia tidak dapat melupakan kemeriahan sambutan hari raya di kampungnya dan sangat merindui suasana itu cukup meriah dengan masakan yang lazat serta hadiah untuk kanak-kanak.

"Di sini kami tidak punyai wang dan tidak mampu untuk melakukan korban atau membeli baju baharu,” katanya.

Sementara itu peniaga lembu, Aktar Hussain berkata, tahun ini dia dapat menjual 50 ekor lembu berbanding tahun lalu hanya 15 ekor. - AFP