Rugi sekiranya pencarum dan ahli tanggungan tidak memanfaatkan faedah yang disediakan sedangkan caruman yang dibuat dapat memberi perlindungan kepada mereka yang ditimpa bencana pekerjaan, menghidap pe­nyakit kritikal atau penyakit yang menyebabkan seseorang pekerja tidak mampu lagi melakukan pekerjaan harian.

Statistik terkini menunjukkan terdapat peningkatan pencarum Perkeso iaitu 6.8 juta pada 2017 berbanding 6.5 juta orang tahun lalu.

Kelmarin, seramai 328,056 penerima pencen Perkeso bagai mendapat durian runtuh dan boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan kenaikan kadar pencen faedah antara 1.2 peratus sehingga 10.4 peratus mulai 26 Disember ini.

Pengumuman itu dianggap bertepatan pada masanya seiring dengan perubahan persekitaran ekonomi semasa yang turut dihadapi kalangan penerima pencen terdiri daripada golongan kurang upaya akibat penyakit atau bencana pekerjaan.

Kadar pelarasan baharu me­nyaksikan penerima pencen akan mendapat imbuhan paling minimum RM475 sebulan yang dianggap memadai untuk membiayai keperluan asas penerima pencen bagi menampung makan-minum serta pembelian ubat-ubatan.

Kadar pelarasan baharu itu kelak menyaksikan Perkeso setiap tahun perlu membayar faedah tuntutan sebanyak RM238 juta (mulai tahun 2018).

Sejak penubuhan Perkeso pada 1971, pertubuhan itu dikatakan sudah 10 kali membuat pelarasan kadar berkenaan yang dinilai dan dikaji semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali bagi dua jenis pencen dan dua faedah bayaran berkala iaitu pencen penakat, pencen ilat dan faedah orang tanggungan serta faedah hilang upaya kekal.

Pencen ilat memberi perlindungan kepada pekerja yang menghidap keilatan akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan dan antara penyakit kronik penyebab keilatan yang boleh dipertimbangkan adalah sakit jantung, buah pinggang, barah, sakit jiwa dan asma.

Bagi menyediakan pembayaran tunggakan pelarasan kadar baharu pencen itu, Perkeso memperuntukkan sebanyak RM72.62 juta, satu jumlah yang agak besar untuk penerima pencen.

Kenaikan kadar bayaran itu selaras dengan Laporan Kajian Penilaian Aktuari ke-10, pelarasan faedah berkala atau pencen di bawah skim bencana pekerjaan dan skim keilatan yang jelas menunjukkan kebajikan pencarum sentiasa menjadi keutamaan.