Menurut beliau, sebaliknya Tommy harus mengikut segala ketetapan dalam Perlembagaan dan beliau yakin perkara itu akan dipatuhi beliau.

“Pelantikan Peguam Negara ini saya yakin beliau terikat atas dasar Perlembagaan... Saya yakin beliau (Tommy) akan bertindak atas kuasa dan dasar yang ada dalam Perlembagaan, dia tidak boleh langgar.

“Keprihatinan yang dititahkan oleh Raja-Raja Melayu yang disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memberi keyakinan tambahan kepada orang Melayu bahawa pelantikan ini berlaku dan baginda percaya Tommy akan tetap menjaga kepentingan Melayu dan institusi Islam seperti mana yang diperuntukkan (dalam Perlembagaan),” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Moreh Bersama Rakyat di Dataran Keris, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari; Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd. Redzuan Yusof; Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis dan pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan negeri.

Ini merupakan kunjungan kali pertama Anwar ke negeri ini selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE