Ini kerana, menurut pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, adalah satu kelaziman mengikut tradisi Kesultanan Melayu untuk melantik putera sulung seseorang Sultan sebagai Tengku Mahkota.

Apatah lagi, menurut beliau, umur dan taraf pendidikan Tengku Hassanal diyakini cukup matang untuk dilantik sebagai Tengku Mahkota.

“Saya percaya ia (pelantikan Tengku Hassanal) tidak lari daripada kebiasaan kerajaan Melayu lama (memandangkan Kesultanan) Pahang adalah satu (warisan) kerajaan Melayu lama.

 

“Tengku Mahkota biasanya bukan sahaja dilantik dalam kalangan anak yang tua, malah mempunyai pendidikan yang baik. Seperti Pahang, ada satu tradisi ketenteraan. Kemudian mempunyai pendidikan agama yang baik. Saya percaya calon yang akan dilantik (sebagai Tengku Mahkota Pahang) ini mempunyai ciri-ciri tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Hassanal diputerakan pada 17 September 1995 dan diisytiharkan sebagai Tengku Pang­lima Besar Pahang pada 18 Jun 2018.

Mengulas berkenaan kedudukan baginda sekiranya ayahanda baginda, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Ramlah berkata, Tengku Hassanal boleh kekal sebagai Tengku Mahkota Pahang walaupun sedang melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom.

Ini kerana, menurut Ramlah, Tengku Hassanal boleh memilih untuk menangguhkan pengajian atau jika tidak, peranan pemang­ku Sultan Pahang boleh diserahkan kepada kerabat terdekat lain.

“Sebagai Sultan, Sultan Abdullah berhak melantik kerabat yang dekat untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Sultan Pahang. Itu budi bicara Sultan Abdullah,” katanya.