Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berkenaan bagi penggal yang baharu itu akan dilaksanakan di Balai Menghadap istana tersebut pada pukul 10 pagi.


Perkara itu dinyatakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu surat jemputan kepada pihak media pada hari ini.


Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dipercayai untuk menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar di Istana Arau.


Turut mengiringi Ahmad Zahid ialah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Walau bagaimanapun Ahmad Zahid yang ditemui wartawan di luar istana itu, enggan mengulas hasil pertemuan tersebut sebaliknya hanya melambai-lambaikan tangan dan mengucapkan terima kasih.


Kemelut pelantikan Menteri Besar, seakan-akan menyamai situasi serupa pada 2008 yang mengambil masa selama dua minggu sebelum kerusi nombor satu negeri itu dimuktamadkan.


Sehingga hari ini, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.


Persoalan timbul kerana Barisan Nasional (BN) telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu.


Sebelum ini, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya, Datuk Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang sebagai calon Menteri Besar yang baharu.


Difahamkan, walau bagaimanapun perkara itu tidak diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin menyebabkan isu berkenaan berlarutan sehingga kini. - UTUSAN ONLINE