Ketua Ranting PKR Melaka, Azman Abdul Hamid yang mengetuai satu himpunan hari ini berhubung bantahan tersebut berkata, Azmi yang menggantikan Datuk Zainal Hussin tidak sepatutnya diberikan jawatan itu kerana beliau daripada Barisan Nasional (BN).

“Kami di sini matlamat berkumpul adalah satu matlamat sahaja iaitu untuk menolak Datuk Bandar yang baru dilantik dan mula bertugas pada hari ini.

“Kami daripada Pakatan Harapan dan sekeras-kerasnya menolak (pelantikan tersebut). Sebenarnya yang dilantik adalah mesti daripada wakil parti PH,” katanya.

Azman berkata demikian ketika ditemui bersama para penyokong PH yang mengadakan himpunan bantahan pelantikan tersebut dengan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Ketua Menteri di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Azman memberitahu, Ketua Menteri, Adly Zahari sepatutnya sudah tahu akan kehendak masyarakat negeri ini apabila berlakunya peralihan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ketua Menteri sepatutnya lebih faham, beliau lebih tahu apa matlamat rakyat menolak BN. Maknanya selama ini di bawah pentadbiran BN, kerajaan tidak dapat tadbir dengan terurus.

“Kenapa nak kekalkan orang-orang BN untuk di dalam (kerajaan) PH? Ini seolah-olah kita tidak mengubah sebab rakyat dah berubah 100 peratus supaya kerajaan yang ada sekarang ini dapat diurus dengan betul dengan baik untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Azman berharap supaya Adly dapat menerima mesej mereka dengan terbuka sambil mengingatkan beliau, ‘tanpa rakyat, tiadalah Ketua Menteri di negeri ini’. - UTUSAN ONLINE