Sehubungan itu, promosi wajah baharu kedua-dua akhbar yang diyakini segar dan mesra pembaca diteruskan dengan siri jelajah pada esok dan Sabtu ini.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dalam satu kenyataan memberitahu, Pasar Raya Mydin Mall cawangan Gong Badak, Kuala Terengganu menjadi lokasi pilihan untuk perkongsian wajah baharu kedua-dua akhbar berkenaan yang mewakili kawasan pantai timur.

“Warga pantai timur juga bakal menikmati kupon diskaun sebanyak 20 peratus untuk pembelian barangan terpilih di Mydin Mall bermula 22 hingga 27 April ini. Baucar diskaun tersebut boleh didapati dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

“Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang dua hari tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam antaranya pertandingan teka berat surat khabar dan bola rotan; studio penghias wajah; pemeriksaan mata dan kesihatan percuma; pertandingan Model Cilik-Mydin serta banyak lagi,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan artis kegemaran mereka antaranya penyampai radio Haiza Cool FM, Lan Solo, Shafie Naswip, Aishah Azman dan Syazuwan Hassan.

“Satu sambutan majlis hari jadi bagi pengunjung yang menyambut hari kelahiran pada 26 April akan turut diadakan yang juga bersempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu. Pada sesi ini, pengunjung akan dijamu dengan kek yang ditempah khas, manakala 100 pengunjung pertama akan menerima hadiah istimewa dari Kumpulan Utusan.

“Sesi happy hour akan turut diadakan bagi mengisi slot santai di mana pengunjung perlu menjawab soalan dan kuiz ringkas yang diajukan selain turut berpeluang memenangi hadiah menarik,” katanya.

Sementara itu, aktiviti pengunjung akan terus diisi dengan satu slot khas bersama Sibermedia Sdn. Bhd., beramah mesra bersama dua penulis pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU Ke-33) dan juga berpeluang mendapatkan minuman kultur Yakult secara percuma serta 500 unit minuman Seasons F&N percuma kepada pengunjung bertuah. – UTUSAN ONLINE