Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pada Oktober tahun ini pihak­nya akan mengadakan hari terbuka yang mana semua aspirasi yang dikumpulkan tersebut akan dibentangkan kepada rakyat.

Katanya, ini adalah peluang terakhir kepada mereka untuk melihat dan mengundi aspirasi yang diinginkan dalam TN50.

“Sebab mengapa aspirasi untuk TN50 dibuat dari peringkat bawah ke atas adalah bagi mendapatkan lebih banyak komitmen berbanding visi sebelum ini iaitu dari atas ke bawah.

“Sebelum ini, komitmen itu ada tetapi bukan 100 peratus. Tetapi kali ini aspirasi adalah daripada rakyat Malaysia dan saya rasa komitmen itu akan le­bih kuat apabila mereka melihat dokumen tersebut pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam dialog TN50 dan Masa Depan Malaysia: Pandangan Korporat anjuran Kelab Bisnes Kuala Lumpur (KLBC) di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, TN50 penting kerana ia adalah usaha negara untuk memastikan kelangsungan pada masa depan terjamin.

“Selama 20 hingga 30 tahun kita habiskan masa untuk mengejar negara-negara lain. Sekarang kita akhirnya sampai ke tahap itu dan saya percaya menjelang 2020, kita akan mencapai pendapatan negara kasar (GNI) perkapita sebanyak AS$12,000 (RM51,324) yang menurut Bank Dunia layak digelar sebagai negara berpendapatan tinggi.

“Namun, jika kita tidak bersedia untuk masa depan seperti mana negara lain yang banyak membuat pelaburan dalam teknologi seperti teknologi pintar buatan (AI) dan sebagainya, maka kita akan menghabiskan masa 30 tahun akan datang untuk terus mengejar mereka,” jelasnya.