Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, banyak inisiatif dilihat selari dengan pengiktirafan terhadap PPPM itu termasuk hala tuju kerjasama Malaysia-UNESCO, terutamanya berkenaan Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP) Malaysia Funds-in-Trust (MFIT) yang merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

“Ia juga selari dengan visi UNESCO berhubung dasar Pendidikan Untuk Semua di bawah Matlamat Pembangunan Berterusan (SDG) yang mempunyai 17 agenda,” kata­nya selepas mengadakan pertemuan dengan Azoulay di sini hari ini.

Azoulay dijangka mendapat sokongan penuh sebagai Ketua Pengarah selepas undian pusi­ngan kedua ‘pilihan raya’ badan itu pada 10 November ini.

Beliau akan menggantikan Irina Bokova yang tamat tempoh perkhidmatan tahun ini.

Mahdzir menambah, dalam perbincangan dengan Azoulay, beliau membangkitkan kerjasama serantau antara UNESCO dan juga Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.

Kata beliau, penekanan diberi dalam pendidikan terutamanya apabila Malaysia mempunyai peruntukan yang telah diberi kepada kerjasama Malaysia UNESCO yang dikenali sebagai MFIT yang diumumkan oleh Najib semasa ucapannya pada Perhimpunan Agung UNESCO 2009.

“Jadi, dengan MFIT, kita ada kerjasama dengan negara-negara kecil untuk kita membantu mereka dari segi pendidikan,’’ ujarnya.

Perkara itu dibangkitkan sebagai salah satu daripada usaha membantu negara-negara kecil dan negara kepulauan Asia Pasifik yang berkaitan projek pendidikan.

“Saya bangkitkan tadi berkaitan dengan hal berkaitan PPPM, iaitu memberi satu gambaran bahawa kita mempunyai satu pemetaan hala tuju pendidikan yang jelas sejak pendidikan awal sehingga kepada kemasukan pelajar ke universiti,” ujarnya.

Beliau memberitahu, di bawah prinsip Pendidikan Untuk Semua ini, Malaysia akan melihat di manakah kedudukannya dalam konteks setempat.

Katanya, Pendidikan Untuk Semua akan merentas demografik penduduk tanpa mengira agama, budaya dan kaum. Semua akan berpeluang mendapat pendidikan awal, rendah, menengah sehinggalah ke universiti. Itu yang dibuat di peringkat negara kita, Malaysia.”

Mengulas lebih lanjut tentang PPPM, Mahdzir berkata, Bhutan telah menjadikannya sebagai rujukan bersama-sama beberapa negara lain malah telah mengguna pakai sepenuhnya PPPM sejak 2015.

Kepada satu soalan katanya, PPPM adalah hak Malaysia dan apa-apa hubungan dengan UNESCO bersifat kolaboratif dan umum sahaja dan bukan bersifat kerajaan-kerajaan kerana UNESCO adalah sebuah badan.

“Sebarang kerjasama yang hendak dijalin perlu dilihat kita secara ‘chapter’ demi ‘chapter’.

“Mungkin bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), membantu negara-negara kepulauan sikit, selain hal bukan pendidikan seperti perubahan cuaca, teknologi hijau dan jadi sebagainya, turut dibincangkan,” jelasnya.

Selain itu, Mahdzir dan Azoulay juga berbincang kerjasama melalui Pusat Sains dan Inovasi Teknologi Antarabangsa Kerjasama Negara Selatan-Selatan (ISTIC), iaitu sebuah badan di bawah UNESCO.

Pusat itu memainkan peranan penting kerana terdapat ramai ahli akademik dan profesional dari Malaysia yang terlibat secara langsung dengan ISTIC.

Ditanya pandangan bakal Ke­tua Pengarah itu terhadap Malaysia, Mahdzir berkata:

“Beliau sangat maklum bahawa kita ada peranan yang sangat penting dalam bidang pendidikan dan yang berkaitan dengan pendidikan.

“Beliau juga berharap, pada masa yang sesuai, akan melawat Malaysia.”