Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, dokumen yang dirangka berpaksikan sekuriti makanan, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa itu antara lain bermatlamat mengeluarkan golongan petani, nelayan dan penternak daripada belenggu kemiskinan.

Beliau berkata, hasrat kerajaan melalui lima hala tuju yang menunjangi dokumen itu akan dicapai melalui pelaksanaan 18 strategi dan 51 inisiatif dalam memastikan industri pertanian menjadi lebih berdaya saing.

“Hala tuju pertama meliputi usaha memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.

“Untuk hala tuju kedua, kementerian akan merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan daga­ngan eksport pertanian,” katanya ketika melancarkan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ‘Prioriti dan Strategi 2019-2020’ di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dekat sini hari ini.

Salahuddin berkata, hala tuju ketiga meliputi perkara menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda.

Beliau berkata, menambahbaik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan diletakkan sebagai hala tuju keempat.

Dokumen itu diakhiri de­ngan hala tuju kelima iaitu memperkukuh struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk menambah baik sistem penyampaian serta tadbir urus kementerian, katanya.

Salahuddin berkata dalam melaksanakan dokumen hala tuju itu, kementerian bertekad menjadikan pertanian sebagai penyumbang penting eknomi negara, sekali gus mengeluarkan golongan itu daripada terperangkap dalam golongan B40.

Beliau berkata, beberapa langkah telah dirangka untuk dilaksanakan bagi memperkukuh sektor agromakanan negara, antaranya membangunkan pangkalan data agromakanan negara ke arah memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan tepat dan berkesan. – BERNAMA