Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, berdasarkan indeks harga pengguna (CPI) melibatkan 521 barangan yang sering dibeli pengguna, hanya 38 peratus dikenakan cukai berbanding 60 peratus ketika cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Pihak penguat kuasa kita akan memantau harga barangan yang dijual untuk memastikan ianya tidak dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan melihat perbandingan margin keuntungan terdahulu dengan yang terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas tinjauan mesra ke syarikat minuman, Sundrop Fruit Juices Sdn. Bhd. di bawah sektor perkilangan (Makanan & Minuman) sempena pelaksanaan SST Peringkat Negeri Sarawak di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Datuk Stanley Tan dan Timbalan Pengarahnya, Md. Nawawi Ab. Rahman.

Dalam pada itu, Chieng Jen memberitahu, beliau juga menghargai usaha syarikat tempatan, Sundrop yang secara sukarela mengekalkan harga produknya buat masa ini sehingga diberitahu nanti.

Sementara itu, beliau berkata, impak perlaksanaan SST secara amnya tidak boleh dibandingkan dengan harga tiga bulan sebelum ini dengan kadar sifar GST. - UTUSAN ONLINE