Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendirian memberikan kelonggaran kepada sekolah-sekolah membuat pilihan untuk melaksanakan atau sebaliknya program PPSMI, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar pula berpendirian tidak menolak usaha memperkasa bahasa Inggeris tetapi jangan sampai mengabaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Bagi kami, pelaksanaan PPSMI dan juga Program Dwibahasa (DLP) bukan sekadar menjulang bahasa Inggeris dan meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tetapi lebih licik iaitu untuk meminggirkan sistem pendidikan kebangsaan bagi diganti dengan sistem pendidikan pelbagai aliran, termasuk aliran Inggeris.

“Jika kerajaan sendiri telah meminggirkan sistem pendidikan kebangsaan dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi pewujudan sistem pendidikan aliran Inggeris sepenuhnya, apa alasan untuk kerajaan menolak sekolah-sekolah vernakular dan sekolah-sekolah antarabangsa untuk mengutamakan bahasa ibunda masing-masing dan meminggirkan bahasa Melayu. Inilah juga perkara yang amat kami khuatiri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bersama MPM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu pejuang bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah pada masa sama pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Jelas Perdana Menteri, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran itu, manakala ada pula menentangnya selain ramai berpendapat bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang yang lulus lebih mudah diterima di pasaran.

Sementara itu, tambah Hasan, jika kerajaan ikhlas mahu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, bukanlah pelaksanaan PPSMI yang patut diutamakan tetapi ekosistem pendidikan dan kaedah pembelajaran bahasa Inggeris yang wajib dikaji dengan mendalam dan dilaksanakan dengan berkesan.

“Kami boleh menerima hujah atau alasan jika hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan mendapati, misalnya pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan memerlukan lebih 20 peratus daripada jumlah jam masa pembelajaran dan memerlukan peruntukan besar bagi memperlengkap setiap sekolah dengan kemudahan, aktiviti pendidikan, kurikulum dan tenaga pengajar.

“Jika itu yang diperlukan, laksanakanlah program baharu itu, asalkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak tergugat dan hasrat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar tercapai. Apa pun hujah kerajaan untuk melaksanakan semula PPSMI dalam modul dan ekosistem yang ada akan tetap kami tentang,” katanya. - UTUSAN ONLINE