Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, walau bagaimanapun dalam bulan Ramadan, impak pelaksanaan dasar tersebut masih belum dapat dinilai sepenuhnya.

“Pada bulan Ramadan ini ada perniagaan francais yang membuat jualan yang tinggi, ada yang sebaliknya. Ini bergantung kepada jenis perniagaan.

“Jakel misalnya menjual pakaian hari raya sudah pasti jualannya laris. Berbanding perniagaan makanan yang hanya memulakan perniagaan antara pukul 5 petang hingga 10 malam, sudah pasti jualannya kurang,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam program Sumbangan Baju Raya Untuk Golongan Kurang Berkemampuan di Jakel Seksyen 7, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jakel Trading, Mohamed Izani Mohamed Jakel memberitahu, pelaksanaan GST sifar memberi tambahan nilai belian untuk para pelanggannya.

“Hari ini baharu hari pertama pelaksanaan GST sifar, namun bagi pembeli mereka boleh membeli lebih banyak barang dengan lebihan enam peratus tersebut.

“Apa pun kita tunggu impak jangka panjang pelaksanaan GST sifar ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE