Malah, mereka menyambut baik, memuji dan mahu kedua-dua akhbar tersebut mengekalkan isi kandungan serta dapat menjadi salah satu medium dalam menonjolkan aktiviti serta perjuangan golo­ngan seni.

Bagi pelakon dan penyanyi tanah air, Asmawi Ani atau Mawi berkata, saiz yang lebih kecil dengan isi kandungan padat dapat menjadikan kedua-dua akhbar berkenaan sebagai bahan bacaan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang.

“Apabila sebut sahaja nama Utusan Malaysia, semua akan terbayang wajahnya yang besar. Itu satu signifikan. Akan tetapi dalam peredaran zaman lebih canggih ini, sudah tentu majoriti masyarakat mahukan sesuatu lebih senang sebagai pilihan mereka.

“Justeru, Kumpulan Utusan bertindak berani buat perubahan selepas hampir 80 tahun dalam pasaran. Walau apa pun, akhbar ini sebenarnya tetap ada dalam jiwa masyarakat Melayu sepanjang zaman meskipun bentuknya diubah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pelancaran tersebut turut mendapat sokongan penerbit dan pelakon filem Munafik 2 antaranya Datuk Yusof Haslam, pengarah dan pemegang watak utama, Shamsul Yusof, Mawi, Nasir Bilal Khan dan Datuk Fizz Fairuz.

Dalam pada itu, Pengarah filem Munafik 2, Syamsul Yusof berharap lebih ramai penggiat seni dan syarikat Kumpulan Utusan saling menyokong antara satu sama lain demi masa depan kedua-dua industri.

“Tahniah kepada syarikat ini. Kita sememangnya perlu perubahan dalam semua segi. Akhbar ini banyak beri sokongan bukan sahaja kepada kami tetapi kepada artis tanah air.

Sementara itu, Penerbit Munafik 2, Datuk Yusof Haslam berkata, perubahan tersebut sememangnya mengikut kehendak rakyat di negara ini yang mahukan sesuatu lebih mudah serta ringkas.