Dengan sekali lafaz, Dazrin, 29, sah bergelar suami kepada pasangannya yang lebih mesra dengan nama Zulin, 33, dengan mas kahwin sebanyak RM500 tunai dan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Razali Din.

Pasangan pengantin yang ditemui selepas majlis melahirkan rasa syukur kerana majlis akad nikah itu berjalan lancar dan mengharapkan agar rumah tangga yang dibina kekal sehingga akhir hayat.

Dazrin yang pernah membintangi drama Adam dan Hawa berkata, walaupun tempoh yang singkat membuat persiapan ekoran kekangan masa mengumpulkan ahli keluarganya yang kebanyakan berada luar Melaka, selain terdapat di luar negara, namun gembira majlis itu berlangsung dengan jayanya.

“Perkenalan kami bermula awal tahun 2016 menerusi aplikasi smule dan pada waktu itu saya cuba memperbaiki mutu nyanyian kera­na menyer­tai pertandingan Gempak Starz.

“Dari situ kami saling me­ngenali dan berhubungan kerana saya tertarik dengan sikap Zulin yang sederhana serta jujur memandangkan pada awal perkenalan dia tidak mengetahui status saya sebagai seorang pelakon,” katanya yang pernah muncul juara Fear Factor musim satu bersama Hairul Azreen.

Dazrin berkata, isterinya yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur juga merupakan seorang Ketua Pramugari sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi dan menguruskan jemaah mengerjakan ibadat umrah dan haji sejak lima tahun lalu, kini bercuti selama sebulan.

Terdahulu, kedua-dua pengantin yang memakai persalinan rona 'Rose Golden' selamat disatukan dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung kira-kira pukul 12 tengah hari dan dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan terdekat.

Pengantin lelaki menghantar tujuh dulang hantaran perkahwinan berbalas sembilan daripada pihak perempuan dengan jumlah wang hantaran yang dirahsiakan.

Dalam perkembangan lain, Dazrin berkata, dia hanya mempunyai masa empat hari untuk berehat sebelum kembali bertugas memulakan pengambaran bagi drama bersiri sebanyak 12 episod.

Pasangan itu memilih mengadakan majlis resepsi pertama di Hotel Equatorial Melaka pada 22 Julai manakala resepsi kedua pula pada keesokan harinya yang dijadualkan berlangsung di tempat sama lokasi pernikahan mereka.