Program amal ‘Charity and Endless Love’ (Chanel 1.0) itu bertemakan Al-Amal Fi Syria melibatkan penyertaan pelajar mengumpul dana menerusi jualan pelbagai produk dan makanan, kutipan derma, tajaan dan sumbangan peribadi pelajar dan pensyarah.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM cawangan Melaka, Dr. Ahmad Fadhly Arham berkata, program ini melibatkan penyertaan pelajar Semester 4, Diploma Pengurusan Perniagaan dan merupakan kesinambungan daripada program Chance of Charity (COC) oleh pelajar fakulti itu sejak enam semester lalu.

“Pihak fakulti menyambut baik langkah diambil para pelajar yang berusaha gigih melaksanakan aktiviti-aktiviti keusahawanan di dalam menjana kutipan perdana untuk program ini.

“Jumlah kutipan yang dikumpul ini adalah antara yang terbanyak sejak program COC diadakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Chanel 1.0 di Galeri Seni UiTM cawangan Melaka kampus Lendu di sini sebentar tadi.

Majlis penyerahan replika cek berlangsung di Dewan Syahbandar kampus universiti itu melibatkan penyerahan cek daripada Ahmad Fadhly kepada Timbalan Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Ismadi Md. Badarudin.

Yang turut hadir, dua Pegawai Penjanaan Dana Islamic Relief Malaysia (IRM), Nooraini Abd. Kadir dan Mohd. Hafiz Ab. Majid serta Ketua Projek, Muhammad Arief Najmuddin Mohd. Mokhtar. - UTUSAN ONLINE