Seorang pelajar tingkatan empat, Nur Athirah Azhari mendedahkan bahawa dia sendiri terlibat dengan kelab Briged Cyber yang banyak menghasilkan video mengenai aktiviti dan acara sekolah malah mempunyai laman sesawang sendiri iaitu Seraya TV.

Katanya, minatnya terhadap penghasilan video percutian dan tempat-tempat menarik menjadi penyebab dia dan rakan-rakannya mengambil peluang untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Saya sememangnya berminat untuk menghasilkan video yang menunjukkan pemandangan yang cantik semasa bercuti ke tempat-tempat menarik.

“Namun untuk penataran video sememangnya sukar kerana kami memerlukan masa untuk menyiapkan video jadi sepanjang sesi penerangan, kami dapat mempelajari dengan lebih mendalam bagaimana untuk membuat jalan cerita, tajuk yang sesuai dan bagaimana untuk menggunakan kamera,” katanya ketika ditemui selepas sesi penataran video #muhibah KPM-Utusan di sini, hari ini.

Sesi penataran tersebut disertai 25 orang pelajar dan dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Mohamad Fikri Rosly yang berkongsi kaedah pembikinan teknik rakaman, suntingan dan penulisan yang lebih tersusun serta menghasilkan video dengan lebih menarik dan berkualiti.

Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bermula sejak 1 Januari sehingga 31 Disember tahun ini dan terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah secara percuma.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Taman Seraya, Wan Norma Wan Pi berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pelajar meskipun melibatkan kos yang tinggi.

“Pihak SMK Taman Seraya sentiasa membuka ruang kepada pelajar-pelajar seawal mereka di tingkatan satu lagi terutamanya ahli-ahli kelab siber yang berminat untuk mempelajari ilmu penataran video dengan lebih terperinci.

“Pendedahan sebegini memberi peluang untuk pelajar menunjukkan kebolehan mereka, malah pencapaian mereka boleh dijadikan contoh serta inspirasi kepada pelajar-pelajar lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE