Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, penggunaan bahasa Melayu seharusnya diperluas dalam kalangan pelajar bukan Melayu kerana boleh dijadikan sebagai bahasa penghubung untuk pelbagai kaum sekali gus membina jati diri serta mengukuhkan perpaduan nasional.

Justeru, katanya, dengan penganjuran beberapa aktiviti seperti pertandingan bercerita, forum, pidato, deklamasi puisi dan koir, para pelajar akan dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan betul.

"Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna menidakkan atau menafikan kepentingan bahasa ibunda kaum lain tetapi berteraskan Perlembagaan Persekutuan, semangat Perlembagaan itu mestilah diterjemahkan oleh semua kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi dalam segenap aspek.

"Apabila kita nak menggalakkan anak-anak kita belajar menggunakan bahasa Melayu, kita perlu memberikan dorongan dan motivasi, jadi usaha mengadakan aktiviti-aktiviti bahasa Melayu akan menggalakkan lagi pelajar dari SJKC, SJKT dan SMPC menguasai bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2018 anjuran Dewan Bahasa Pustaka, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE