Sabri Osman

Pengerusinya, Sabri Osman berkata, perakuan daripada Jabatan Agama Islam negeri-negeri perlu bagi memudahkan lepasan sekolah pondok untuk mendapatkan pekerjaan dan lebih diyakini.

“Ini yang kami perjuangkan agar pelajar-pelajar pondok dapat diberikan sijil pengiktirafan untuk bekerja seperti di sektor-sektor agama atau untuk menjadi imam. Setakat ini tiada sijil pengiktirafan yang boleh mengesahkan status pelajar sekolah pondok.

"Jadi kita mahu pendidikan pondok ini juga dipe­rakui Jabatan Agama Islam. Mungkin Jabatan Agama Islam boleh mengadakan peperiksaan bagi menilai kemampuan mereka sebelum sijil tersebut diberikan,” katanya.

Beliau yang mewakili 11 sekolah pondok di nege­ri ini berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pertubuhan itu mengadakan pertemuan itu bagi menyampaikan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada 10 buah institusi pondok dan pelajar sekolah agama rakyat sebagai bantuan mengurus serta tambahan RM20 ribu bagi tujuan pembelian kitab.

Menurut Sabri, pihaknya bersama wakil sekolah pondok dari seluruh negara mengadakan dua pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membincangkan usaha memperkasa institusi berkenaan.

“Antara yang dibincangkan ada­lah hal berkaitan sijil pengiktirafan tersebut. Selain itu, turut dibincangkan keperluan mendedahkan pelajar sekolah pondok dengan kemahiran vokasional bagi membolehkan mereka mudah mendapat pekerjaan pada masa depan,” ujarnya.