Dari kiri, Mohd. Syamil Zarief Affendi, Firdaus Maskan, Mohd. Hafsham Othman dan Mohd. Daniel Othman bergambar bersama sijil yang mereka menangi, semalam.

Mohd. Hafsham Othman, 14, (autisme) yang berjaya mereka kotak perangkap lemak makanan dan minyak masak memenangi Pingat Emas kategori Sekolah-sekolah Rendah yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Guru Pendidikan Khas, Mohd. Firdaus Maskan berkata, Mohd. Hafsham sememangnya seorang remaja yang istimewa kerana mencetuskan ilham untuk mencipta kotak ini hasil pemerhatian terhadap perniagaan bapanya, sebagai penjual makanan termasuk sate.

“Hafsham tidak berhenti-henti menyebut ‘sate’, ‘sate’ dan ‘mi­nyak’, ‘minyak’ bagi menyelesaikan masalah pembuangan minyak masakan dan akhirnya kami berjaya mencipta sebuah kotak yang dipasang di sinki membasuh pinggan mangkuk.

“Ini bagi mengasingkan lemak makanan, minyak masakan yang terapung dan sisa-sisa makanan yang pada akhirnya hanya air yang dialir keluar daripada sinki.

“Hasil ciptaan ini tentulah hebat kerana ia merupakan idea dan usaha daripada seorang remaja yang mengalami autisme,” katanya.

Dua orang lagi pelajar kategori lembam, Mohd. Daniel Othman, 12, dan Mohd. Syamil Zarief Effendi, 12, berjaya membawa pulang pingat Perak hasil kejayaan mereka mencipta Mesin Pembakar Roti, yang boleh membakar enam keping roti sekali gus untuk penyediaan roti bakar yang lazimnya dimakan bersama marjerin dan disapu dengan kaya.

Mohd. Daniel berkata, idea mencipta mesin ini ekoran daripada ibunya yang berniaga warung makanan yang turut menyediakan roti bakar kepada pelanggan.

“Selalunya, jika kita menggunakan pembakar roti, hanya dua keping roti dapat dibakar tetapi dengan mesin ini enam keping roti boleh dibakar sekali gus dan ibu saya dapat menyediakan roti bakar dengan lebih banyak bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Mohd. Syamil Zarief berkata, beliau gembira kerana berjaya membantu Mohd. Daniel menghasilkan mesin ini dan tidak me­nyangka ia berjaya menarik perhatian hakim sehingga memenangi pertandingan ini.

“Sesiapa yang berminat dengan mesin ini, bolehlah menghubungi pihak sekolah dan kami sedia buat lebih banyak mesin ini dan menjualnya kepada yang berminat,” katanya.