Usaha itu kini telah menampak­kan hasil apabila pelajar-pelajar MRSM berjaya memukau lebih 600 pengunjung yang menyaksikan persembahan mereka dalam Konsert Inspirasi Muzikal 2016 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini .

Konsert selama dua hari bermula Jumaat lalu itu menyaksikan persembahan pelajar dari sembilan buah MRSM yang rata-ratanya menampilkan seni muzik tradisional.

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Abd. Hamid Ahmad, Konsert Inspirasi Muzikal itu adalah yang pertama kali diadakan bertujuan mengetengahkan bakat seni muzik pelajar-pelajar MRSM.

Beliau berkata, sebelum ini, pelajar-pelajar MRSM hanya membuat persembahan di pering­kat MRSM sahaja melalui Festival Muzik MRSM Se-Malaysia (FESMA) tetapi bermula tahun ini bakat mereka diketengahkan kepada umum.

“Sejak lima tahun lalu, kami mengadakan satu program untuk memastikan pelajar MRSM bukan hanya cemerlang dalam akademik tetapi turut menjadi pelajar yang seimbang dari segala aspek termasuk seni.

“Untuk itu, diwujudkan Festival Muzik MRSM Se-Malaysia (FESMA) sebagai satu laluan untuk pelajar-pelajar MRSM mempersembahkan apa yang mereka pelajari tentang seni muzik.

“Tahun ini, kami ingin tonjolkan kebolehan pelajar MRSM kepada umum memandangkan mereka juga telah bersedia ke arah itu. Maka, Konsert Inspirasi Muzikal menjadi platform untuk pelajar MRSM menonjolkan bakat mereka kepada umum,” katanya.

Konsert Inspirasi Muzikal 2016 menampilkan sembilan buah MRSM iaitu MRSM Felda Trolak, Perak; MRMS Merbok, Sungai Petani, Kedah; MRSM Mersing, Johor; MRSM Kuantan, Pahang; MRSM Tun Dr. Ismail, Pontian, Johor; MRSM Pasir Tumboh, Kelantan; MRSM Kuala Kubu Bharu, Se­langor; MRSM Mukah, Sarawak dan MRSM Serting, Negeri Sembilan.

Hadir sama menyaksikan konsert tersebut adalah Timbalan Ke­tua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Sidin, Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Abd. Hamid berkata, melalui penganjuran konsert tersebut, masyarakat akan mengetahui bahawa sistem pendidikan Mara bukan hanya mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, malah mampu meningkatkan martabat bangsa melalui seni muzik.

Beliau berkata, setiap MRSM mempunyai niche masing-ma­sing dalam bidang seni sama ada Gamelan, Ghazal, Zapin, orkestra dan lain-lain.

“Setiap MRSM akan diberi pilihan untuk memilih niche mereka dan pihak Mara akan menyediakan kemudahan mengikut niche pilihan mereka.

“Dana juga diperoleh daripada sumbangan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) dan ada MRSM yang turun padang mencari dana sendiri melalui persembahan atau sebagainya,” ujar Abd. Hamid.

Katanya, program bertujuan membentuk pelajar MRSM menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang se­perti sains, teknologi, agama, kejurute­raan, seni dan matematik (STREAM).