Mereka yang diberi peluang pendedahan latihan praktikal dan menimba kemahiran di lapangan, berperanan bersama dengan para pekerja pemaju projek itu, Ascencion Technology Sdn. Bhd  bagi membina 50 unit kediaman berkembar yang disasarkan siap dalam tempoh lima bulan.

Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT), Wan Ayub Wan Ahmad memberitahu, selain para pelajar KKKT, juga melibatkan pelajar terpilih dari Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun dan Institut Latihan Perindustrian Gong Badak.

“Satu majlis penyerahan pelajar kepada pemaju telah diadakan di KKKT pada 5 Mac lalu yang turut dihadiri oleh wakil-wakil  dari Kementerian Pendidikan Tinggi dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan),” ujarnya di sini hari ini.

 MyBN Home (My Beautiful New Home) adalah inisiatif kerajaan dalam Bajet 2017, digerakkan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi kesejahteraan kumpulan B40 yang disasarkan di lokasi tertentu di seluruh negara.

Menurut Wan Ayub, sebanyak 50 buah rumah dengan harga RM40,000 di tapak yang disediakan oleh kerajaan negeri dengan RM20,000 daripada kos ditampung oleh kerajaan manakala sebahagian lagi dibayar secara ansuran oleh pemilik kelak.

“MyBN Home di negeri Terengganu menggunakan teknologi IBS HyperBIM, sebagaimana yang diterapkan dalam pembinaan sebahagian daripada projek Rumah Komuniti di Besut oleh Kolej Komuniti Malaysia pada 2016,” ujar Wan Ayub.

Beliau menarik perhatian, selain sebagai satu tanggungjawab sosial, penglibatan warga institusi TVET ini adalah usaha kerajaan dalam memperkasakan graduannya di samping dapat mengurangkan kos pembinaan dan membantu golongan B40.

“Pelajar telah memasuki tapak projek, dan mereka dilibatkan dalam kerja-kerja awam. Ini termasuklah penyediaan tapak, pemasangan dinding, bumbung, pintu, tingkap, mengecat, pepaipan dan pendawaian elektrik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE