Pengarah Pusat PERMATApintar UKM, Profesor Datuk Dr. Noriah Mohd Ishak berkata, pelajar berkenaan adalah salah seorang daripada 137 pelajar yang mendaftar untuk kemasukan ke kolej bagi mengikuti pembelajaran Asas 1 (tingkatan satu) dan Tahap 1 (tingkatan empat) sesi 2018 di kolej PERMATApintar UKM.

“Izz akan menduduki tingkatan satu di kolej mulai hari ini dan hanya mengambil dua mata pelajaran iaitu matematik dan kimia bagi semester ini.

“Untuk memudahkan sesi persekolahan, pelajar pintar ini tidak akan menginap di asrama seperti pelajar lain sebaliknya dibenarkan berulang alik ke rumah setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Taklimat Pelajar Baharu Kolej PERMATApintar UKM di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Muafakat Kolej PERMATApintar UKM, Dr. Azman Hamzah dan Pengarah Pusat Psikologi Persatuan Psikolgi Amerika Syarikat (APA) Dr. Rena F. Subotnik.

Mengulas lanjut, Noriah berkata kemasukan pelajar baharu ini adalah sebahagian daripada keseluruhan 29,520 pemohon dari seluruh negara.

“Daripada 137 pelajar ini 119 orang adalah pelajar baharu bagi tingkatan satu manakala 18 lagi adalah pengambilan untuk tingkatan empat dan paling ramai pelajar yang mendaftar hari ini adalah dari negeri Terengganu. - UTUSAN ONLINE