Difahamkan, mayat Muhammad Hafiz Zainal Epi, 23, ditemukan di dalam tasik berkenaan oleh orang ramai kira-kira pukul 5.43 petang.

Menurut sumber, identiti Muhamamd Hafiz disahkan menerusi kad pengenalan yang ditemukan bersamanya dan jenazah beliau kini di Pejabat Koroner Westminster, London.

Berita kematian itu turut disahkan oleh bapanya Zainal Epi yang merupakan bekas wartawan The Star.

Menurutnya, dia dan keluarga akan ke London esok untuk urusan pengebumian anaknya di sana.

“Arwah tidak pernah memberitahu jika dia ada mengalami sebarang sakit sebelum ini dan pemergiannya mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, portal berita Metro dari United Kingdom melaporkan, polis menerima laporan penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 5.43 petang semalam.

Jelas portal tersebut, jurucakap polis memberitahu mayat lelaki itu ditemukan di dalam tasik dan punca kematian masih lagi dalam siasatan.