Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, melalui video berdurasi dua minit yang dihasilkan, para pelajar boleh menyampaikan mesej bagaimana kepelbagaian etnik dapat hidup dalam perpaduan sehingga menjadi simbol 1Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap para guru termasuk di sekolah-sekolah pedalaman dapat menggalakkan para pelajar mereka menyertai pertandingan bagi melatih kemahiran selain penyertaannya secara percuma dan melalui sistem dalam talian.

“Saya harap pertandingan ini mendapat kerjasama daripada semua sekolah supaya banyak filem pendek yang dihasilkan. Peralatan pun tidak perlu canggih sangat, guna telefon bimbit boleh melatih pelajar untuk berkarya.

“Para pelajar boleh menggambarkan suasana di Sabah yang lain daripada yang lain. Bagaimana perpaduan di Sabah dapat kita kekalkan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran program Jerayawara #muhibah - Pertandingan Video Pendek Utusan Malaysia/Utusan Online peringkat negeri di Wisma Pendidikan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Pengarang Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah.

Sementara itu, Wahid berkata, penganjuran pertandingan video pendek tersebut yang bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah dengan bertemakan muhibah.

Katanya, antara syarat yang ditetapkan ialah penggunaan Bahasa Melayu serta perlu menyampaikan mesej-mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Sepanjang tempoh penganjuran, empat video terbaik yang dimasukkan ke dalam laman web www.muhibah.my akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang menawarkan hadiah RM1,000 bagi setiap pemenang.

“Bagi sekolah yang hendak menyertai pertandingan, boleh berhubung dengan pejabat pendidikan daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut atau layari www.utusan.com.my,” jelas beliau.