Menurut Umar Abdul Aziz Kamarul Halim, 18, yang belajar di Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir, amalan berkenaan memberinya kelapangan jiwa untuk mengulangkaji pelajaran setiap hari.

Bekas pelajar pusat tahfiz yang berasal dari Teluk Intan, Perak ini berkata, dia juga mengelak daripada memakan makanan segera kerana pernah membaca artikel mengenai keburukannya.

“Mungkin sudah lebih setahun saya tak makan makanan segera. Saya juga amalkan mengambil makanan sunah seperti kismis,” katanya ketika ditemui di SMS Tuanku Munawir di sini.

Umar Abdul Aziz berkata, dia juga sentiasa mengamalkan sembahyang dhuha setiap hari dan kerap menghubungi ibunya bagi mendapatkan restu dan berkongsi masalah.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Rosyidin Nasir yang meraih 9A+ berpendapat fokus di dalam kelas menjadi ramuan kejayaan.

Katanya, dia menjadikan seorang kakak dan abang yang belajar di universiti di luar negara sebagai inspirasi untuk mencapai kejayaan.

“Saya mahu ikut jejak langkah mereka berjaya dalam pelajaran dan membanggakan keluarga,” kata anak bongsu dari tujuh beradik dari Johor ini. - UTUSAN ONLINE