Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Harun Yusof berkata, kanak-kanak istimewa dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan(SK) Kamil 2 itu diberi peluang menyerlahkan bakatnya di gerai pameran yang disediakan.

Beliau berkata, penampilan murid tersebut adalah sebagai pendedahan kepada pengunjung mengenai kejayaan PPKI di sekolah harian biasa.

“Dia bakal ditemani guru Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Mona Losani A. Rashid untuk menunjuk cara menghasilkan khat kepada pengunjung.

“Sehingga kini koleksi kerja tangannya dikumpulkan untuk pameran berkenaan. Kita juga akan mempamerkan laporan Utusan Online mengenai keupayaan Zakuan untuk tatapan umum,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Harun berkata, program gotong-royong membersih kawasan SK Tok Bali dan persekitaran Terusan Semerak akan diadakan esok sebagai aktiviti amal sosial warga pendidik sempena Jelajah Pendidikan.

Di antara aktiviti yang akan diadakan sempena program tersebut ialah pameran pendidikan dan agensi kerajaan; persembahan guru dan pelajar; pertandingan mewarna serta ziarah kasih.

Program itu akan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. - UTUSAN ONLINE