Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS), Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, adalah penting supaya Malaysia perlu terus menjadi hab pendidikan negara pada masa depan.

Kata beliau, pada masa ini, jumlah pelajar asing yang melanjutkan pengajian di Malaysia adalah seramai 170,000 orang dan pihaknya menyasarkan peningkatan kepada 200,000 orang menjelang 2020.

"Kemasukan pelajar asing telah membawa pendapatan kepada negara kerana mereka bukan sahaja membayar yuran universiti tetapi juga sara hidup seperti penginapan dan perbelanjaan harian sepanjang tempoh pengajian sehingga lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan menyempurnakan prapelancaran Pameran Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Jordan Kali Ke-6 Peringkat Malaysia di sini, malam tadi.

Berangkat sama ialah anakanda sulung baginda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding.

Menurut Rujhan, berbanding sektor pelancongan, pelaburan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan adalah lebih bersifat jangka panjang.

Katanya, malah pendapatan negara akan bertambah sekiranya pelajar-pelajar asing tersebut turut membawa sama ahli-ahli keluarga mereka sepanjang tempoh pengajian di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, EMGS kini dalam rangka mempromosi pendidikan Malaysia dengan mengambil bahagian dalam Pameran Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Jordan Kali Ke-6 di sini yang bermula pada hari ini sehingga Isnin ini.

Kata beliau, lokasi promosi itu adalah di pusat bandar ini, Irbiq dan Aqaba yang akan turut disertai oleh beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) awam dam swasta di Malaysia.

"Penyertaan kita dalam pameran pendidikan di sini adalah untuk mempromosikan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia kepada rakyat Jordan.

"Pada masa ini seramai 1,700 orang rakyat Jordan melanjutkan pengajian di Malaysia dengan sebahagian besarnya di peringkat doktor falsafah (PhD)," katanya.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai lebih daripada 170,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara yang belajar di negara ini. - UTUSAN ONLINE