Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sehubungan itu beliau mempelawa para pelajar asing termasuk dari India melanjutkan pelajaran ke Malaysia.

“Kita berterima kasih kepada India kerana memberi tempat kepada pelajar Malaysia untuk belajar dalam bidang perubatan dan pergigian.

“Ini adalah antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala Malaysia-India,” katanya dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Narendra Modi selepas mesyuarat dua hala di Hyderabad House, di sini hari ini.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Malaysia juga bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam mencegah kegiatan keganasan termasuk militan Daesh dan program deradikalisasi.

“Malaysia tidak akan sesekali menjadi tempat untuk pelampau dan militan bertapak,” tegasnya.

Sebelum itu Narendra dalam ucapannya memuji pendirian Malaysia dan Najib dalam memerangi keganasan yang menjadi insipirasi kepada negara-negara lain.

Beliau berkata, program dan pendekatan yang diambil dalam isu ini menjadi ikutan negara-negara lain.

Narendra turut menyifatkan hubungan India-Malaysia berada pada tahap tertinggi dengan rentetan sejarah yang amat panjang. – mingguan