Beliau yang mengetuai pasukan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) berjaya menewaskan tujuh pasukan lain di peringkat saringan sekali gus membantu pasukannya bergelar johan pertandingan yang memasuki edisi ke-14 tersebut.

"Alhamdulillah, segala usaha keras kami terbayar dengan kemenangan ini malam ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu, terutamanya rakan-rakan yang memberikan tunjuk ajar dan sokongan serta ibu dan ayah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya," katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Selain Ivanatasha,pasukan UKLK dibarisi oMadihah Solahuddin, 21, Muhammad Nur Anas Rosli, 22 dan Noor Nadzirah Mohamad Nordin, 22.

Naib Johan pertandingan tersebut dimenangi pasukan Kelab Debat Bahasa Arab (KDBA) UPSI sebagai pencadang yang dibarisi, Amirah Mustopal Kamar, 20, Muhammad Amir Ridwan Zaidi, 23, Nurul Azwa Amira Kasmori, 23 dan Nurul Afifah Hasbullah, 20.

Amirah turut memenangi anugerah Pendebat Terbaik Liga.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pertandingan tersebut perlu diadakan dalam skala yang lebih luas merangkumi antara fakulti supaya dapat menarik penyertaan lebih ramai peserta berbakat.

Kata beliau, Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM) UPSI sebelum ini telah berjaya melahirkan ramai tokoh alumni yang hebat seperti wartawan penyiaran, Andy Reza Rohadian Khairul Anwar dan pakar motivasi, Ahmad Izzhar Ahmad Nazri.

"Kita juga mahu pertandingan ini diadakan secara besar-besaran pada masa hadapan supaya acara debat ini mampu melahirkan lebih ramai insan-insan hebat yang menjadi ikon buat pelajar UPSI," katanya ketika merasmikan majlis di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Madya Dr. Md. Amin Md. Taff, Pengarah Pusat Bahasa dan Pengajian Umum UPSI, M. Sasigaran dan Penasihat Kelab Debat Bahasa Melayu, Muhammad Fawiz Bakri. - UTUSAN ONLINE