SAIPOLBAHARI SUIB

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, peladang yang mempunyai tanah kosong atau terbiar boleh membangunkan tanah mereka dengan tanaman Musang King.

“Saya mengajak pengusaha industri kecil yang terdapat warga peladang untuk menghantar produk durian yang diproses di Malaysia dengan pembungkusan produk yang dibenarkan ke China.

“Ini adalah langkah pendidikan awal pendedahan luar negara agar semua peladang yang berada dalam industri kecil dan sederhana terlibat secara langsung pemasaran produk makanan berasaskan pertanian ke China,” katanya kepada pemberita pada Festival Durian Malaysia 2017 Nanning di sini baru-baru ini.

Menurut Saipolbahari, pihaknya boleh membantu peladang memasarkan produk keluaran mereka menerusi produk jenama peladang yang berkualiti dan sudah diterima kebanyakan negara-negara luar.

“Untuk yang baru hendak menceburkan diri dalam bidang pertanian, kita ada macam-macam jabatan dalam Nafas, kita ada program Peladang Muda, kita ada kemudahan pinjaman untuk usahawan baharu, selain agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Bank Pertanian juga ada dan pastinya kita boleh membantu ke arah itu.

“Tetapi yang mustahak ahli peladang mesti bergerak sekarang, kita tidak boleh tidur dan perlu meningkatkan pendapatan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut tentang industri sarang burung walet, beliau berkata, Nafas sendiri ada pengeluarannya untuk dieksport ke China melalui sebuah syarikat di bawah Nafas.

“Sekarang kita kumpulkan semua peladang, penternak dan nelayan dan kita buat pusat pengumpulan semua sarang burung yang dikeluarkan peladang. Dahulu harga sarang burung walet menurun, satu kilogram RM900 ke RM1,800, tapi sekarang ia meningkat lebih RM6,000 hingga RM7,000.

“Kita mesti kekalkan pengeluaran dan bertahan dalam keadaan suasana pasaran turun naik ini biasa, kerana yang penting lonjakan ekonomi sedia ada dapat dipertahankan.

“Kita bercita-cita besar, kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memperuntukkan RM6.5 billion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kali ini RM200 juta dikhususkan untuk pembinaan kekayaan baharu contohnya Musang King, madu kelulut, ikan tuna, tenusu dan akan datang, kelapa,” katanya.

Tambahnya, beliau turut mengambil contoh bantuan RM200 sebulan yang akan diberikan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dengan hampir RM150 juta kepada pesawah padi merupakan satu strategi tepat dilaksanakan oleh kerajaan dan diharap dengan pemberian elaun tersebut, para petani lebih bermotivasi untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara. - UTUSAN ONLINE