ASNB baru-baru ini mengumumkan akan menambah baik sistem operasi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk manfaat lebih sembilan juga pelaburnya.

Ia selaras usaha ASNB untuk menarik minat masyarakat, ter­utamanya golongan muda untuk mempunyai perancangan kewa­ngan yang betul dan melabur dalam ASB.

Antara kemudahan pelaburan yang telah sedia ditawarkan ASNB ialah kemudahan melabur secara on-line menerusi Maybank2u, CIMB Clicks, RHB Now dan AffinOnLine.

Pelabur juga boleh membuat pelaburan secara konsisten setiap bu­lan menerusi kemu­dahan Skim Poto­ngan Gaji (SPG) yang ditawarkan secara percuma oleh ASNB ke­pada kakitangan awam dan swasta.

Menerusi kemudahan SPG ini, kakitangan boleh membuat potongan gaji setiap bulan secara automatik dalam jumlah yang dinginkan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk pihak ketiga seperti pasangan masing-masing, anak-anak atau ibu bapa.

Untuk kakitangan kerajaan pula, mereka boleh mengemukakan permohonan untuk menyertai SPG ini menerusi Jabatan Akauntan Negara.

Dengan membuat potongan gaji secara automatik sebagai sebahagian strategi pelaburan, pelabur dapat melabur secara konsisten dalam ASB dan tidak perlu bimbang akan terlupa atau terlepas pandang untuk melabur setiap bulan.

Jumlah potongan pelaburan juga bergantung kepada kemampuan pelabur de­ngan jumlah minimum yang dibenarkan sebanyak RM10 sebulan.

Biarlah potongan untuk pe­laburan hanya serendah RM50 atau RM100 setiap bulan, tetapi ia kekal untuk jangka panjang su­paya jumlahnya terus berkembang.

Sebenarnya rahsia utama untuk membina tabungan yang kukuh ialah melabur secara konsisten untuk jangka masa yang panjang.

Walaupun nampak mudah, tetapi ramai yang gagal untuk melabur secara konsisten, jangan kata untuk dua atau tiga bulan sekali, malah ada yang langsung tidak melabur. Alasan yang diberi mudah sahaja, ‘terlupa, tidak sempat, tiada wang lebihan dan sebagainya’.

Sayangnya sikap sambil lewa da­lam mengurus kewangan dan pelaburan ini menyebabkan ramai berdepan masalah kewangan, lebih-lebih lagi apabila berlaku perkara luar dugaan atau kecemasan.

Justeru majikan digalakkan menyediakan kemudahan SPG ini bagi membantu kakita­ngan mereka untuk lebih berdis­iplin dalam membuat pelaburan.

Majikan hanya perlu mendaftar dengan ASNB untuk menawar­kan kemudahan ini secara per­cuma kepada kakitangan ma­sing-ma­sing.

Kemudahan SPG yang ditawarkan ini sebenarnya merupakan satu nilai tambah kepada manfaat yang boleh ditawarkan majikan kepada kakitangan.

Sebagai majikan yang prihatin, apa salahnya menawarkan satu kemudahan bernilai tambah untuk kakitangan yang akhirnya akan memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan mereka, sekali gus membantu mengurangkan tekanan mereka dalam me­nguruskan kehidupan.