Pengerusi Khulafa Sdn. Bhd, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin, berkata, kejadian itu bukan seperti disangka, kerana pekerja sambilannya itu baharu mengeluarkan peralatan restoran dari stor dan sebahagian mahu dibuang.

Beliau yang juga pemilik restoran berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari semalam dan dia hanya mengetahui berita itu viral tiga jam kemudian setelah dimaklumkan pelanggannya.

"Pekerja terbabit sebenarnya hendak membuang sudu dan beberapa perkakas lain seperti periuk, pinggan yang tidak elok dan sudah berkarat. Namun, tindakan ini mungkin dilihat oleh individu yang kebetulan lalu di kawasan belakang premis.

"Kami telah menjalankan perniagaan sejak 38 tahun dan mempunyai lapan cawangan sekitar daerah ini, Klang dan Subang Jaya.

"Restoran ini terbuka dan pelanggan boleh melihat cara kerja kami yang mengikuti piawaian syariah serta aspek kesihatan secara menyeluruh," katanya ketika ditemui di restorannya, di sini hari ini.

Tambahnya, ekoran isu tersebut, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah melakukan pemeriksaan di premisnya untuk membuat pemeriksaan.

"Mereka berpuas hati dengan kebersihan premis. Mereka juga memberikan gred A bagi Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan.

"Tuduhan yang diberikan tidak berasas dan saya berasa terkilan kerana perkara ini bukan sahaja tidak betul tetapi seolah-olah hendak menutup pintu rezeki kami," ujarnya. - UTUSAN ONLINE