Perkara itu akan mula dilakukan selepas Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing mengemukakan laporan penuh kajian kepada Kementerian Sumber Manusia. 


Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang perubahan dasar dan polisi berkaitan pekerja asing akan dilihat berdasarkan kepada cadangan yang dikemukakan jawatankuasa bebas tersebut. 


Walau bagaimanapun, jelas Mahfuz, perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan penelitian di peringkat kementerian sebelum melakukan tindakan lanjut. 


“Kita akan meneliti dahulu laporan penuh yang akan dikemukakan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing yang telah pun selesai membuat segala kajian. Mereka akan mengemukakan laporan itu dalam tempoh sebulan dua ini. 


“Kerajaan bersedia untuk menyelesaikan apa sahaja permasalahan yang berbangkit daripada isu ini termasuklah melibatkan isu pekerja asing dari Nepal dan sebarang perubahan dasar akan dilihat berdasarkan cadangan yang dikemukakan nanti,” katanya. 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja sempena hari pendaftaran pelajar baharu Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL), di sini hari ini. 


Mei lalu, kerajaan Nepal menggantung kemasukan pekerja mereka ke Malaysia ekoran pelbagai yuran dikenakan ke atas rakyat mereka bekerja di sini.


Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran kemudian membuat rundingan dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Nepal Oktober lalu berhubung penggantungan pekerja asing itu. - UTUSAN ONLINE