Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, perkara itu tidak mustahil dicapai memandangkan statistik terkini menunjukkan terdapat lebih 20,000 penduduk wilayah Riau telah datang ke Melaka untuk melancong.

Menurutnya, dengan pelbagai kemudahan yang disediakan Melaka pada masa kini, pelancong Indonesia khususnya dari Riau atau Pekanbaru boleh terus ke Melaka melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.

“Jika hasrat ini berjaya direalisasikan kelak, ia akan membantu merapatkan lagi hubungan antara Riau dan Melaka, sekali gus membantu perkembangan industri pelancongan di kedua-dua kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi Dialog Khusus Siaran Riau Pos Media Group sempena lawatan kerjanya ke Riau di sini, semalam.

Yang turut serta, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad; Pengerusi Riau Pos Media Group, Rida K. Liamsi serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Norena Jaafar.

Tambah Idris, selain Melaka, pelancong dari Riau juga berpeluang untuk melancong ke negeri di seluruh Malaysia yang berhampiran seperti Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kehadiran pelancong serta merancakkan sektor pelancongan di negeri lain,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, penurunan nilai ringgit serta beberapa mata wang dunia bukanlah faktor penghalang untuk Riau dan Melaka bekerjasama melalui industri pelancongan.

“Penurunan nilai mata wang ini dihadapi di seluruh dunia namun kita tidak boleh berputus asa sebaliknya harus bekerjasama berusaha meningkatkan semula nilai ringgit dan rupiah walaupun berhadapan tekanan daripada dolar Amerika,” tambah beliau.